اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Monday, February 16, 2015

17 tahun berlalu, mana perginya kemarahan?


Oleh Wong Chin Huat 

Dari 1998 ke 2015, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tetap dianiayai. Yang berbeza, 17 tahun dahulu, dia sah seorang pemimpin Melayu dan 17 tahun kemudian, dia sah seorang pemimpin Malaysia tetapi ada yang mempertikaikan keMelayuannya.
Saya tertanya-tanya mengapa kemarahan orang awam terhadap penganiayaan Anwar sekarang jelas kurang berbanding dengan penganiayaan beliau 17 tahun yang lepas.


Teori pertama ialah kerana ini kali kedua Anwar dituduh, maka ramai yang percaya Anwar memanglah “pesalah ulangan”.
Tetapi ini tidak menyakinkan kerana sekali pemimpin Umno mengulangi keruhan Tun Dr Mahathir Mohamad yang Anwar tamakkan kuasa – secara tidak langsung mengakui Anwar tidak akan dituduh sebagai peliwat kalau beliau tidak cuba mencabar Dr Mahathir.

Teori kedua ialah orang awam mengalami “kelesuan politik” (political fatigue). Mereka rasa begitu kecewa dengan politik daripada kezaliman pemerintah sampai kepada perbalahan antara pembangkang. Mereka begitu jemu sampai tidak lagi bertenaga untuk marah lagi.
Teori kedua ini ada asas tertentu tetapi saya lebih tertarik kepada teori ketiga: transformasi Anwar daripada seorang pemimpin Melayu Muslim kepada seorang pemimpin Malaysia.

17 tahun lepas, apabila Anwar tiba-tiba jatuh daripada kemuliaan pemimpin negara kedua tinggi kepada “penjenayah” yang dijatuhkan hukuman media, sebelum diseksa ketua polis dan dihina dalam pembicaraan yang berat-sebelah, “tauliah” beliau sebagai seorang pemimpin Melayu tidak dapat dipersoalkan.

Sungguhpun Dr Mahathir cuba sedaya-upaya menuduh Anwar sebagai peliwat dan agen Barat dan boneka Yahudi, untuk memusnahkan nama baik dan maruah Anwar, lebih ramai orang awam – lebih tepat lagi orang Melayu – yang percaya Dr Mahathirlah yang merupakan firaun yang zalim.
Untuk kali pertama sejak kelahiran Umno pada tahun 1946, kali pertama ramai orang Melayu menolak parti nasionalisme Melayu itu.

Mereka sedia maklum itu “perang saudara” orang Melayu, antara mereka yang percayakan pemerintah dan mereka yang junjungi keadilan. Mereka tidak takutkan propaganda Dr Mahathir dan Umno orang Cina/bukan Melayu akan mengambil kesempatan apabila Melayu berpecah.

Anwar, 1998: Pemimpin Melayu? Ya. Pemimpin Malaysia? Belum lagi

Mereka percaya kesudahan yang munasabah ialah menggantikan pemimpin Melayu yang zalim (Dr Mahathir) dengan pemimpin Melayu yang adil (Anwar) dan kesudahan ini boleh dicapai dengan cepat.
Demi kesudahan ini, mereka ingin menggantikan sekaligus sekutu bukan Melayu Mahathir/Umno dengan sekutu bukan Melayu Anwar. Mereka terima baik pemimpin-pemimpin masyarakat sivil dan juga pembangkang di kalangan bukan Melayu yang menyokong Anwar.

Sungguhpun Dr Mahathir dan Umno cuba memainkan sentimen assabiyah (perkauman), rata-rata mereka yang menyertai reformasi tidak risaukan ancaman orang bukan Melayu ataupun penamatan paradigma Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Yang merasa was-was sebaliknya adalah pengundi bukan Melayu.

Ada yang takutkan sebarang perubahan tampuk pemerintahan akan membawa rusuhan kaum dan komuniti minoriti yang akhirnya akan menjadi korban, semacam 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur dan semacam 13 Mei 1998 di Jakarta.
Ada yang takutkan jika Umno jatuh, PAS akan ambil kesempatan untuk mewujudkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud.

Ada yang takutkan Anwar sendiri, yang rata-rata diingat sebagai pelampau yang cuba mengislamkan seluruh masyarakat dan menghapuskan budaya dan bahasa komuniti minoriti.
Ramai tidak dapat lupakan sikap keras beliau semasa menjadi menteri pendidikan yang degil menghantar guru-guru kanan yang tidak berbahasa Cina ke sekolah-sekolah rendah Cina.

Dasar itu mencetuskan ketegangan kaum yang kemudian dijadikan alasan Dr Mahathir untuk melancarkan Operasi Lalang dan menahan seramai 106 pemimpin politik, aktivis dan cerdekiawan.
Boleh dikatakan Anwar pada 1998 adalah pemimpin Melayu yang terunggul tetapi belum lagi menjadi pemimpin Malaysia yang didukung oleh semua kaum.

Anwar, 2015: Pemimpin Malaysia? Ya. Pemimpin Melayu? Tidak pasti lagi

17 tahun kemudian, nyata sekali Anwar kini berdiri tinggi sebagai negarawan yang disokongi oleh rakyat pelbagai kaum yang membentuk majoriti di kalangan pengundi.
Kalau bukan kerja hina Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam persempadanan semula kawasan pilihanraya dalam tahun-tahun 2003 dan 2005, dengan pembahagian kawasan yang tidak sekata (malapportionment) dan persempadanan yang tidak adil (gerrymandering), Pakatan Rakyat yang memenangi 51% undi dalam 2013 seharusnya sudah membentuk kerajaan dan Anwar diangkat menjadi perdana menteri.

Tetapi, “tauliah” Anwar sebagai pemimpin Melayu semakin dipersoalkan, oleh Umno dan juga musuh dalam selimut.
Beliau dituduh sebagai diperkudakan orang bukan Melayu kerana memperjuangkan nasib semua anak Malaysia yang terpinggir, tidak kira kaum dan agama.

Beliau dituduh menjual agama Islam kerana mempertahankan hak bukan Muslim menggunakan kalimah Allah dan membela mereka daripada tuduhan dan pemusuhan.
Bagi sesetengah pihak, kalau Anwar menjadi perdana menteri, orang Melayu dan orang Islam hanya akan dipinggirkan. Bagi mereka, penganiyaan Anwar menjadi sesuatu yang diraikan dan bukan memarahkan.
JIka Anwar sentiasa menekankan kepentingan orang Melayu-Muslim sahaja dan imej beliau seperti pemimpin Umno, maka penganiyaan beliau akan dilihat sebagai penganiyaan pemimpin Melayu dan kemarahan awam sudah tentu akan jauh lebih kuat dan lebih meluas.
Persoalannya, mengapa perjuangan untuk kaum dan perjuangan untuk seluruh negara mesti dilihat sebagai dalam hubungan “tukar ganti” (trade-off) atau “permainan jumlah sifar” (zero-sum game)?

Gabungan sosial vs Gabungan politik

Apa sekalipun jawapannya, yang nyata, Pakatan masih belum berjaya membentuk sebuah “gabungan sosial” (social coalition) yang bersatupadu memperjuangkan sebuah negara yang inklusif untuk semua.
Ramai yang harapkan gabungan sosial begitu akan wujud selepas kejayaan “gabungan politik” (political coalition) – apabila Pakatan menawan Putrajaya.

Realiti yang zalim nampaknya ialah “gabungan sosial” mesti berjaya dibentuk dahulu sebelum “gabungan politik” boleh memenangi kuasa pemerintah.
Sebelum Pakatan dapat menyatukan rakyat Malaysia dengan sebuah wawasan yang merangkumi semua dan menggerakkan hati semua, ia tidak akan dapat berkuasa dan Anwar tidak akan menjadi mangsa terakhir kezaliman sebegini.

Kesedaran ini menjadi lebih berat di hati dengan pemergian Tok Guru Nik Aziz.
Bersama-sama dengan Arwah Ustaz Yusof Rawa dan Arwah Ustaz Fadzil Noor, Arwah Tok Guru menolak fahaman assabiyah secara ikhlas dan jujur dan bukan cuba menggantikan nasionalisme Melayu dengan nasionalisme Muslim.

Selama 23 tahun Arwah Tok Guru memegang jawatan menteri besar di Kelantan, beliau tidak pernah menyusahkan bukan Muslim untuk menunjukkan ketuanan Muslim atau Islam.
Arwah menunjukkan dengan polisi dan gayanya, Islam boleh memperjuangkan kebajikan untuk semua dan bukan sahaja untuk mengangkat golongan Muslim dan menekan yang lain.
Dalam terus memperjuangkan keadilan untuk Anwar dan bersedih dengan peninggalan Arwah Tok Guru, kita harus memperkuatkan usaha untuk mencari sebuah wawasan yang benar-benar boleh membina sebuah gabungan sosial yang seterusnya boleh membawa kemenangan kepada gabungan politik yang bernama Pakatan.

Kalau tidak, 17 tahun kemudian, kita mungkin masih mengeluh tentang kezaliman yang dibawa oleh system politik ini dan tetap tidak buat apa-apapun.

  ttp://www.themalaysianinsider.com

 Posted on Monday, February 16 @ 11:26:21 MYT by paktam

No comments:

Post a Comment